ME ON MEDIA

AKHBAR BERITA HARIAN, 13 Jan 2017

Memberikan sedikit info berkaitan aktiviti seni khat dalam Ruangan Ibrah Akhbar Berita Harian. Terima kasih kepada wartawan Berita Harian Puan Azlina atas undangan untuk berkongsi ilmu berkaitan seni khat di akbar anda. Semoga bermanfaat InsyaAllah.

#senikhat
#senikhatislam
#khatboard
#kufimurabba
#foks
#senikhatjawi









Rencana Ringkas Pameran Seni Khat di MATIC  
di TV3 (MHI)
bersiaran pada 25 Mac 2015
 




 








Alhamdulillah Bengkel Khat bersama Jabatan Warisan Negara, Kementerian Kesenian dan Warisan di Kelab Sultan Sulaiman Kg Baru, Kuala Lumpur pd 5 Okt yg lalu telah dirakam dan diedit serta disiarkan di Saluran 502 Astro TV Bernama



RAKAMAN KHAT KUFI DI BERNAMA TV


Tarikh : 8 Ogos 2013
Tempat : Studio Rakaman Bernama TV, Jalan Tun Razak

Tajuk : Perkembangan Khat Kufi dan sambutan masyarakat Malaysia terhadapnya


Bersiaran di Bernama TV pada hari Raya ke 3 jam 5.30 petang







 
KUFI SQUARE FOKS di Akhbar KOSMO pd 1 Mac 2013

Satu rencana 3 muka surat berkaitan aktiviti seni khat kufi murabba' dalam Facebook yang dikenali sebagai Friends of Kufi Murabb' atau FOKS. Kami menubuhkan FOKS ini pada asalnya perbicangan secara santai dalam FB antara peminat seni khat Kufi Murabba. Setelah beberapa ketika, saya mengambil inisiatif menubuhkan kumpulan ini dalam FB. dan sekarang ini (updated Julai 2007) sudah mengandungi seramai 8732 ribu ahli.
Pautannya di sini (FOKS Facebook)

Semoga seni khat semakin berkembang maju InsyaAllah

(Dari kiri) Adrin, Abdul Wahab dan Ariff merupakan antara penggiat Foks yang terawal yang membantu ahli untuk menghasilkan karya khat di laman Facebook.



MELIHAT kepada tulisan yang bercorak segi empat, orang ramai pasti sukar untuk mengagak bahawa itu merupakan salah satu cabang dalam seni khat.
Namun, keindahannya ternyata mampu menarik minat orang ramai untuk mempelajari serta mengetahui ciri-ciri terkandung dalam seni khat yang dikenali sebagai khat kufi.
Khat itu terbahagi kepada pelbagai corak antaranya khat kufi basit, khat kufi musattar, khat kufi mutalasiq, khat kufi muwarraq dan khat kufi murabba. Namun, antara seni khat kufi yang popular di negara kita dewasa ini ialah kufi murabba.
Siapa sangka dengan hanya menggunakan perisian komputer, setiap individu boleh mempelajari cara-cara serta kaedah berkarya dengan seni khat kufi murabba secara lebih mudah.
"Dengan hanya menggunakan perisian Microsoft Excel, Inkscape dan Adobe Illustrator, semua orang boleh mempelajari serta mempraktikkan kreativiti mereka menerusi khat kufi," ujar seorang jurukhat kufi, Ariff Ashaari, 49.
Arif pada asalnya meminati seni khat tradisi iaitu khat nasakh, khat thuluth dan khat diwani kemudian memilih khat kufi sebagai salah satu sumber pendapatan hariannya dengan menjual hasil karya khat tersebut.
Menurut Ariff, dia banyak mendapat inspirasi untuk mempelajari seni secara tidak formal menerusi sebuah komuniti di laman Facebook.
Komuniti itu banyak membincangkan hal ehwal khat kufi yang adakalanya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
"Saya merupakan antara penggiat awal Friends Of Kufi Square (Foks) sejak 2010. Topik yang sering dibincangkan oleh kami secara keseluruhannya berkisarkan tentang khat kufi sahaja tanpa menyentuh aspek teknikal karya seni khat lain.
"Khat kufi kadangkala menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai terutama hal ehwal kebolehbacaan karya-karya kufi. Komuniti ini merungkai pelbagai permasalahan yang sering dilakukan oleh penggiat seni khat serta memberi jalan penyelesaian terbaik terutama aspek teknikal dalam penghasilan seni khat kufi," ujarnya ketika ditanya mengenai objektif utama Foks.
Usaha Ariff yang menjadikan khat sebagai mata pencarian dalam hidupnya itu bertepatan dengan satu kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Saidina Ali iaitu "Hendaklah kamu perelokkan tulisan, kerana ia adalah salah satu daripada punca rezeki."



WALAUPUN lebih banyak berkomunikasi di laman Facebook, pertemuan Adrin dan Abdul Wahab baru-baru ini berjaya menerbitkan idea baharu dalam penghasilan karya khat kufi yang mudah dibaca.



Nisbah grid
Khat kufi bukanlah sebuah karya yang boleh dipandang rendah kerana khat itu juga menggunakan ayat-ayat suci al-Quran sebagai subjek utama dalam setiap penghasilan karyanya.
Bukti jelas bahawa khat kufi mempunyai nilai-nilai Islam yang tinggi ialah menerusi hiasan yang terdapat di ruang mihrab masjid yang didirikan oleh Nabi Muhammad SAW di Madinah iaitu Masjid Nabawi.
Di ruangan Masjid Nabawi, tertera dua potong ayat al-Quran iaitu surah al-Ahzab, ayat 40 dan surah at-Taubah ayat 128 yang menjadi hiasan utama di kiri serta kanan mihrab masjid itu.
Seorang lagi penggiat seni khat kufi yang aktif menerusi Foks, Adrin Zainuddin, 33, memberitahu, setiap ahli Foks juga berusaha untuk menghasilkan karya khat kufi murabba secara kontemporari agar karya kufi mudah diterima oleh segenap lapisan masyarakat.
"Kami mula berdialog di laman Facebook sejak 2010 dan kebanyakan topik yang kami bincangkan ialah mengenai eksperimentasi huruf hijaiyah (huruf alif, ba, ta) yang digunakan dalam seni khat kufi.
"Kami amat mementingkan disiplin dalam setiap penghasilan karya khat kufi. Disebabkan oleh itu, kami telah memperkenalkan nisbah grid untuk dijadikan panduan oleh setiap ahli untuk memandu kaedah penghasilan karya kufi mereka. Setakat ini, karya yang dihasilkan oleh ahli Foks ternyata boleh dibaca dengan jelas oleh orang ramai," ujar Adrin.
Kelompok individu yang meminati kira-kira serta penyelesaian yang melibatkan aritmetik logik dan geometri pasti tertarik kepada seni khat kufi kerana seni tersebut melibatkan teknik penyusunan huruf yang merupakan salah satu asas penting.
"Kebanyakan karya kufi yang dijual dewasa ini tidak mengikut piawaian yang betul terutamanya dalam penyusunan huruf. Jurukhat akan menokok tambah fizikal huruf untuk memenuhi ruangan serta untuk mencantikkan hasil karya mereka.
"Perbuatan itu secara tanpa sedar telah merosakkan keaslian huruf yang digunakan dalam al-Quran sekali gus menafikan kebolehbacaan sesuatu karya serta menambah kekeliruan orang ramai," tambah Adrin.
Menurutnya lagi, komen skeptikal mengenai karya khat kufi daripada golongan artis seni merupakan antara cabaran yang terpaksa dihadam olehnya dan pengiat seni khat kufi yang lain.
"Ada antara mereka memberitahu karya kami ini menterbalikkan ayat al-Quran. Tetapi kami mempunyai bukti bahawa kami berada di landasan yang benar kerana berpandukan karya kufi yang terdapat pada Masjid Nabawi dan kaabah," ujarnya.



ADRIN menunjukkan kaedah penghasilan khat kufi dengan menggunakan perisian Microsoft Excel.



Dakwah melalui karya khat
Selain daripada berkongsi pendapat mengenai seni khat kufi, Foks juga merupakan salah satu medium untuk setiap ahli baharu mempelajari teknik-teknik bagi menghasilkan karya seni itu.
Dengan hanya memuat naik hasil karya mereka di laman Facebook, ahli Foks akan membincangkan teknik yang digunakan oleh ahli baharu dan sekiranya mempunyai masalah untuk membaca karya itu, mereka bersama-sama akan membantu membaiki karya tersebut.
Tidak hanya tertumpu kepada penghasilan karya kufi yang menarik serta mudah dibaca, karya in juga merupakan salah satu dakwah kepada orang ramai.
"Khat kufi berupaya menarik golongan bukan Islam untuk meminati karya seni umat Islam. Ia setidak-tidaknya membangkitkan rasa minat mereka dan memberi informasi bahawa Islam juga mempunyai karya seni hebat," ujar pengasas laman Facebook Foks, Abdul Wahab Khalid,39.
Beliau memberi contoh penghijrahan dua penulis khat bertaraf dunia sehingga menyebabkan mereka memeluk Islam iaitu Fuad Koachi Honda dari Jepun dan Muhammad Zakariya dari Amerika Syarikat setelah mendalami teknik-teknik seni khat.
Menurut Abdul Wahab yang juga merupakan seorang guru subjek Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Datok Keramat, Kuala Lumpur, tempoh untuk mempelajari khat kufi adalah singkat jika dibandingkan dengan seni khat yang lain.
"Di sekolah, saya juga mengajar murid-murid lakaran seni khat iaitu khat nasakh dan khat riqah. Dengan perkembangan teknologi yang boleh diaplikasikan pada penghasilan seni khat, murid-murid akan lebih meminati khat kufi.
"Kewujudan Foks di laman Facebook berupaya memartabatkan seni khat kufi ke tahap yang lebih tinggi.
"Kami berdebat mengenai perkara yang melibatkan pemahaman orang ramai terhadap karya seni umat Islam. Selain itu, kami juga berusaha menjaga kesucian seni khat yang rata-ratanya terdiri daripada ayat-ayat al-Quran," ujarnya yang juga memegang jawatan sebagai exco dalam Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK).

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2upI6ek00
Hakcipta terpelihara




ARTIKEL SEMPENA KARNIVAL INOVASI ISLAM DI MASJID SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN PADA JULAI 2010

Terbitan di akhbar pada 12 Ogos 2010

Transformasi Produk Islamik








ADA sesuatu yang unik pada produk ciptaan seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Datok Keramat 1, Kuala Lumpur, Abdul Wahab Khalid.
Dinamakan Khat Board, inovasi pendidik itu berjaya menarik minat khalayak yang mengerumuni gerainya.
Menurutnya, alat bantu mengajar itu dicipta khas bagi tujuan pembelajaran seni khat di kalangan pelajar sekolah tahun enam.
Abdul Wahab mempamerkan ciptaannya itu sempena Karnival Inovasi Islam (KII) Peringkat Kebangsaan 2010 yang berlangsung di Putrajaya awal bulan lalu.
Hanya menggunakan bahan-bahan kitar semula seperti penutup botol susu, tiang mikrofon, bingkai gambar dan papan putih, fungsi asasnya membolehkan ia digunakan oleh guru mahupun pensyarah untuk mengajar mata pelajaran lain seperti lukisan, matematik, paparan objek dan sebagainya.
ORANG ramai mengerumuni gerai Kementerian Pelajaran untuk melihat Khat Board yang dicpta oleh Abdul Wahab (duduk kiri).



“Idea untuk menghasilkan alat Khat Board itu timbul selepas saya menghadiri satu Kursus Penulisan Khat Peringkat Kebangsaan di salah sebuah hotel pada tahun 2005.
“Masa itu tiada kemudahan papan hitam mahupun putih untuk saya melakar seni khat. Saya terpaksa melukis satu persatu ayat khat di atas kertas putih dan membentangkannya kepada penonton,” jelasnya.
Disebabkan itu, Abdul Wahab mula mencipta Khat Board yang boleh memancarkan paparan tersebut dengan bantuan mekanisma projektor.
“Saya hanya perlu melakarnya di atas kertas dan ia boleh terus dilihat oleh pelajar melalui visual yang besar dan jelas,” katanya yang hanya memperuntukkan sebanyak RM500 untuk mencipta alat tersebut.
Biarpun Abdul Wahab tidak tersenarai sebagai salah seorang pemenang anugerah Inovasi Islam 2010, namun alat ciptaannya itu mempunyai nilai dan keistimewaan tersendiri, sama seperti banyak produk lain yang dipamer dalam karnival tersebut.

Berciri kemasyarakatan



KARNIVAL ini juga mempamerkan bakat dan kemahiran dalam bidang khusus seperti kulinari dan fesyen.



“Produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan yang dipilih untuk pameran karnival ini adalah menjurus kepada produk bercirikan kemasyarakatan.
“Ia juga harus memberi manfaat kepada masyarakat dalam konteks Islam, sekali gus dapat menyampaikan mesej kepada masyarakat mengenai kepentingan budaya inovasi sebagai nilai tambah dalam sistem penyampaian perkhidmatan,” kata Setiausaha Jawatankuasa Induk KII 2010, Mohamad Nordin Ibrahim.
Beliau menambah, penyelidikan produk dan perkhidmatan yang diketengahkan dalam karnival tersebut perlu dilakukan dalam tempoh tiga tahun yang terkini.
Acara yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor itu bukan hanya tertumpu pada produk-produk inovasi.
Ia turut memfokuskan sistem pengurusan dan perkhidmatan inovatif dalam usaha menambah nilai output. Dengan kombinasi produk dan perkhidmatan yang berkualiti, ia mampu mentransformasi pembangunan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.
Karnival yang julung-julung kali diadakan di Malaysia itu antara lain memperkasakan nama Malaysia sebagai negara Islam contoh di persada dunia.
Berlangsung selama empat hari bermula 5 Ogos lalu, karnival yang bertemakan Inovatif 1Malaysia 1Ummah itu turut menyampaikan Anugerah Inovasi Islam kepada mana-mana pihak atau institusi yang telah memberi sumbangan besar dalam bidang inovasi Islam.
Terdapat lima kategori bagi anugerah tersebut iaitu Anugerah Inovasi Masjid Mandiri, Anugerah Inovasi Produk Halal, Anugerah Inovasi Pendidikan Islam dan Anugerah Inovasi Kewangan Islam.

Masjid Mandiri
Mempunyai kekuatan dari aspek pengurusan dan pengimarahan serta boleh dijadikan penanda aras bagi masjid-masjid lain, Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor, berjaya dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Inovasi Perkhidmatan Institusi Masjid Mandiri.



YAAKOB menerima Anugerah Khas Inovasi Islam yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.



Menurut Timbalan Pengerusi Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Mohd Sunawan Md Som, penganugerahan itu mungkin disebabkan masjid itu diuruskan oleh penduduk sendiri tanpa bantuan daripada kerajaan.
“Masjid ini juga banyak menganjurkan pelbagai aktiviti dan mempunyai kemudahan serta perkhidmatan. Kami menyediakan pusat dialisis, pusat perkembangan seni khat dan jawi, dana bantuan pendidikan, program bazar Ramadan, rakan muda, lawatan sambil belajar serta program membudayakan al-Quran.
“Pusat dialisis yang berada di kawasan masjid ini mempunyai sebanyak 16 mesin dan membantu seramai 74 orang pesakit. Pesakit hanya perlu membuat bayaran sebanyak RM110 untuk setiap kali rawatan,” katanya.

Kit kesan babi
Sementara itu, Anugerah Khas Inovasi Islam pula disandang Prof. Dr. Yaakob Che Man yang merupakan Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor.
Penilaian dibuat berdasarkan pada hasil idea kreatif beliau dalam penghasilan produk kit pengesanan kandungan babi dalam makanan. Itu merupakan sumbangan yang paling besar dalam bidang hal ehwal Islam.
Beliau juga melakukan pelbagai kajian mengesan kandungan tidak halal pada produk makanan.
Produk pengesanan kandungan babi yang dihasilkan telah menyelesaikan permasalahan yang dihadapi dalam jangka masa singkat sekali gus membawa nilai tambah yang tinggi dari aspek pemakanan dan ekonomi Malaysia.
Kemenangan Yaakob bukan sahaja disebabkan penghasilan inovasi tersebut, bahkan penglibatan beliau dalam membangunkan Standard Halal yang pertama di dunia sejak tahun 1996.



LEBIH 117 jenis produk dan perkhidmatan telah dipamerkan sempena karnival ini.



Bagi kategori Inovasi Pendidikan Islam pula, Khairul Anwar Ramlan dari Sekolah Menengah Teknik Perdagangan Johor Bahru, Johor, berjaya mengondol anugerah tersebut melalui Portal e-Pendidikan ciptaan beliau.
Khairul yang pernah dianugerahkan sebagai Guru ICT Kebangsaan 2009 itu menghasilkan Portal e-Pendidikan dengan khidmat muat turun seperti nota-nota pembelajaran bank soalan, kertas peperiksaan dan format jawapan. Projek ini juga sangat mesra pengguna kerana aksesnya adalah percuma.

“Ia juga memberi banyak manfaat kepada pelajar untuk menjalani sesi pembelajaran Pendidikan Islam pada bila-bila masa dan di mana jua mereka berada tanpa bantuan guru.
“Pelajar dapat menguji pemahaman mereka terhadap sesuatu topik dengan membuat latihan interaktif dan latih tubi yang berterusan terutamanya apabila hampir musim peperiksaan,” katanya mengenai portal yang telah dibentangkan di Brunei pada bulan Mei 2009.

Dalam pada itu, menurut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz, karnival itu bermatlamat memberi mesej kepada masyarakat tentang betapa pentingnya menerapkan budaya inovasi dalam pembangunan, produktiviti dan pengurusan hal ehwal Islam.
“Ia bersesuaian dengan saranan kerajaan yang mengisytiharkan tahun 2010 sebagai tahun inovasi,” jelas beliau.
Wan Mohamad memberitahu, pihaknya mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk kementerian dan jabatan kerajaan, institusi pengajian tinggi awam (IPTA), badan berkanun, dan Johor Corporation.

Tiada ulasan: