(Di salin semula untuk tujuan perkongsian ilmu drpd Web Ust Abdul Baki Abu Bakar)
Ada beberapa pertanyaan yang saya terima tentang bagaimana untuk
belajar khat secara efektif sehingga tangan menjadi lentur untuk menulis
dengan baik. InsyaAllah saya cuba kongsi di sini beberapa tip yang
mungkin boleh anda cuba dalam belajar khat.
Seni khat mempunyai beberapa jenis bentuk atau gaya yang perlu anda
tahu dan kenal sebelum berlatih. Jenis-jenis yang sering digunakan pada
masa ini saya hadkan kepada tujuh jenis sahaja iaitu:
- Khat nasakh
- Khat thuluth
- Khat diwani
- Khat diwani jali
- Khat farisi
- Khat riqáh
- Khat kufi
Semua jenis khat ini memerlukan latihan yang banyak untuk menguatkan
tangan sehingga anda dapat menguasainya dengan baik kecuali khat kufi.
Khat kufi tidak perlu latihan menulis dengan tangan kerana cara
menulisnya bukan bebas tangan (free hand). Khat kufi anda boleh buat
menggunakan pembaris atau terus dibuat secara digital
menggunakan komputer kerana ia adalah satu-satunya jenis khat yang keras
garis lurus, melintang dan menegaknya.
Manakala enam jenis khat lagi, kesemuanya mesti melalui pembelajaran
yang betul dan harus berlatih bersungguh-sungguh kerana bentuknya yang
lembut dan ditulis dengan free hand. Bentuk hurufnya tidak lurus serta
mempunyai bentu-bentuk yang tersendiri. Tiada cara lain jika anda ingin
menguasai khat-khat ini, kecuali harus belajar dan berterusan berlatih.
Perkara utama sebelum berlatih adalah belajar melalui guru. Carilah
guru yang pandai menulis khat dan mohon belajar daripadanya. Mungkin ada
di sekolah, ustaz-ustaz yang pandai seni khat, bincanglah dengannya
untuk belajar secara intensif. Tetapi saya juga faham, ada sesetengah
tempat amat sukar mencari seseorang yang boleh memberi tunjuk ajar
kepada kita dalam seni khat. Inilah juga keadaan yang saya alami ketika
mula-mula minat seni ini dahulu.
Bukan senang hendak cari guru yang
berkebolehan menulis dengan baik dan sanggup mengajar kita pula.
Terkadang keadaan inilah yang menyebabkan kita yang berkobar-kobar ingin
belajar khat boleh hilang semangat dan putus asa.
Andai kata begini keadaannya saya sarankan anda perlu mencari buku
kaedah seni dahulu samaada buku bercetak atau buku digital (ebook). Buku
bercetak saya rasa anda boleh cari ketika pesta-pesta buku seperti
Pesta Buku Kuala Lumpur atau di kedai buku-buku agama. Manakala ebook
sebenarnya lebih mudah diperolehi sekarang melalui internet di beberapa
laman web seni khat yang membenarkan kita download dengan percuma. Cuma
anda hanya perlu pandai mencari. Biasanya banyak ebook ini ada di
forum-forum komuniti seni khat. Malah di dalam Facebook pun saya lihat
banyak ebook seni khat yang telah dimuat naik ke situ.
Cubalah berlatih meniru kaedah huruf dari buku tersebut. Mulakan
dengan huruf tunggal, kemudian huruf bersambung dan seterusnya menulis
ayat. Pilih sahaja apakah jenis khat yang anda minat samaada khat
nasakh, thuluth, diwani atau yang lainnya.
Perkara penting ingin saya ingatkan kepada anda ialah, ketika
berlatih anda jangan terlalu tamak. Maksud saya, jangan terlalu cepat
hendak berpindah latihan dari satu huruf ke huruf yang lain.
Cubalah
sedaya upaya menguasai sesuatu huruf sehingga benar-benar menyerupai
huruf di dalam buku kaedah. Biarpun walau satu huruf yang anda dapat
dalam sehari. Setelah itu barulah berpindah ke huruf yang seterusnya.
Ambil sedikit masa memerhatikan setiap sudut huruf luar dan dalamnya dan
cubalah biasakan tangan anda membentuk sedikit demi sedikit sehingga
anda benar-benar puas hati.
Elakkan tergopoh-gapah menulis. Tulis dengan
perlahan. Hakikatnya seorang yang pandai khat bukan orang yang dapat
tulis dengan laju, tetapi orang yang dapat menulis dengan tepat mengikut
kaedah asal. Bahkan boleh dikatakan kebanyakan penulis khat yang mahir,
selalunya mereka menulis dengan amat perlahan sekali.
Seperkara lagi, bersabarlah dalam latihan dan terus beristiqamah.
Jangan kecewa jika berpuluh atau beratus kali anda menulis tetapi masih
belum berhasil. Lakukan latihan yang berkualiti dan bukan yang sambil
lewa. Lakukan analisa sendiri setiap kali berlatih. Percayalah dengan
kemampuan diri sendiri dan minat mendalam anda pada tulisan ini.
InsyaAllah dengan izin Allah anda akan dapat kuasai seni khat dengan
baik suatu hari nanti. Kerana masa yang panjang amat diperlukan dalam
latihan untuk tangan anda menjadi lentur dan sebati dengan huruf.
Sesungguhnya dalam berlatih menulis ayat-ayat Allah akan hadir
ketenangan jiwa dalam diri anda.
Tambahan oleh Abdul Wahab Khalid :
Anda juga boleh menggunakan kaedah menekap dengan menggunakan kertas tracing paper. Iaitu dengan melapik kertas tracing paper itu di atas mana2 karya atau buku panduan khat, kemudian menekap semula tulisan tersebut dengan saiz pen yang sama dengan buku asal tersebut. Saya pun awal2 belajar khat dahulu menggunakan kaedah ini. Lama2 anda akan terbiasa dengan kaedah yg ditiru dan sikit2 anda akan dapat memahirkan diri InsyaAllah.
Selamat berusaha...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan