12 Mei 2010

PERUTUSAN HARI GURU OLEH KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

PERUTUSAN HARI GURU 2010‎



oleh : Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd. Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

‎“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”‎
‎ ‎
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatu, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.‎

Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan pelajar yang dikasihi sekelian.‎


‎1. Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan ‎limpah kurniaNya, sekali lagi pada tarikh ini, 16 Mei 2010, kita dapat menyambut hari paling ‎istimewa bagi para pendidik iaitu Hari Guru. Tanggal 16 Mei setiap tahun sejak 1972 disambut ‎untuk kita semua memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion keguruan selain ‎mengenang jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang ‎berjasa kepada bangsa dan negara. ‎

‎2. Tahun ini, sekali lagi tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ dipilih kerana ia menepati ‎aspirasi kerajaan dalam membentuk sebuah negara yang baik dan berkesan. Kementerian ‎Pelajaran Malaysia sentiasa berusaha untuk menyediakan sistem pendidikan yang terbaik agar ‎setiap kita dapat mengembangkan potensi dan bakat secara optimum. Sekolah perlu menjadi ‎acuan dan landasan yang mampu melahirkan golongan pelapis generasi muda yang bergerak ‎seiring aspirasi negara dengan mengetepikan perbezaan yang berdasarkan kepada bangsa dan ‎agama. Oleh itu, semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba ‎pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai langkah menyediakan diri untuk menjadi ‎seorang pengurus dan pentadbir profesional kelas pertama. ‎


‎3. Standard Guru Malaysia menetapkan tahap pencapaian kompetensi profesional yang patut ‎dicapai oleh guru untuk menjamin dan mengekalkan pendidikan yang berkualiti kepada ‎warganegara Malaysia kini dan akan datang. Para guru perlu mempunyai tahap amalan nilai ‎profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan ‎pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan ‎berkesan. Guru harus bijak membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard serta ‎mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri dalam usaha mencapai ‎kecemerlangan tugas sebagai pendidik dan pembina negara bangsa. ‎


‎ ‎‎4. Falsafah Pendidikan Guru menekankan kriteria seorang guru haruslah berperkerti mulia, ‎berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung ‎warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat ‎yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Setiap guru juga bertanggungjawab ‎untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka ‎supaya generasi pelapis akan mampu mengorak langkah kearah kecemerlangan diri, bangsa dan ‎negara. ‎


5. Warga pendidik harus menyedari bahawa selain bertanggungjawab mengajar dan ‎mendidik, guru juga menggalas amanah yang berat kerana mereka turut berperanan menbentuk ‎akhlak serta jati diri anak didik. Guru mempunyai kelebihan dari aspek pengetahuan ilmu ‎psikologi kanak-kanak dan kepakaran pedagogi. Guru harus dan mesti boleh ‎mengimplementasikan kaedah pendidikan yang tepat di mana strategi pengajaran dan ‎pembelajaran yang beliau lakukan memperhatikan situasi, kondisi dan karakter seseorang, ‎sehingga nilai-nilai murni dapat di tanam dan dijelmakan dengan baik dalam diri anak didik. Saya ‎penuh yakin dengan kewibawaan para guru di Malaysia dalam mempersiapkan diri anak didik ‎agar menjadi insan yang cekal dan berupaya mengharungi tuntutan dan perubahan arus ‎globalisasi. ‎


‎ ‎Warga pendidik dan pelajar sekelian,‎


6. Matlamat dan dasar yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam ‎membina Negara Bangsa adalah untuk memastikan setiap pelajar memiliki jati diri yang kukuh, ‎patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah masyarakat ‎yang penyayang, demokratik, liberal, bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta ‎bersatu padu. Kementerian Pelajaran menyediakan pendidikan yang dapat menyemai nilai-nilai ‎ini bermula di peringkat awal pendidikan kanak-kanak lagi. ‎


‎7. Bagi merealisasikan hasrat ini agen perubahan yang utama adalah guru dan institusi ‎pendidikan.Guru harus memainkan peranan untuk memupuk dan mengekalkan semangat ‎perpaduan melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum dan sukan. Peranan guru adalah memastikan ‎generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi. Aspirasi ‎negara terhadap guru sebagai pembina negara bangsa menuntut komitmen yang tinggi daripada ‎semua warga pendidik. Guru harus menggalas tugas berat menghasilkan seorang insan yang ‎cemerlang dari segi ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains, teknologi dan ICT, ‎berkemahiran tinggi seperti berupaya berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa dan ‎mempunyai sahsiah yang positif agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga dan ‎negara. ‎


8‎. Konsep 1Malaysia yang dipelopori oleh YAB Perdana Menteri menekankan kesejahteraan ‎rakyat dan keberhasilan yang dapat dinikmati seperti yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia ‎‎“Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Bagi mencapai kesejahteraan, warga pendidik ‎harus menghayati dan berkongsi bersama falsafah dan objektif ‘collegiality’ yang membawa ‎maksud “the cooperative relationship with colleagues” (keserakanan). Kita harus faham bahawa ‎prinsip keserakanan yang positif boleh mempercepatkan proses pencapaian kecemerlangan secara ‎bersama. Prinsip keserakanan harus wujud dalam diri setiap pendidik supaya aspirasi negara ‎dapat diterjemahkan dalam satu kefahaman bersama.‎


‎9. Saya dengan ini menyeru kepada semua warga pendidik supaya membulatkan tekad dan ‎menguatkan azam untuk sama-sama bekerja bagi memartabatkan organisasi pendidikan ‎kita. Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh ‎dedikasi dan amanah dengan semangat keserakanan bagi memartabatkan profesion keguruan dan ‎meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat selaras dengan ‎gagasan 1Malaysia yang menekankan ideologi rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. ‎Penerapan konsep 1Malaysia harus dipupuk di peringkat sekolah kerana pembentukan sahsiah ‎dan karakter remaja adalah ketika di alam persekolahan. Sama-samalah kita berdoa agar apa yang ‎direncana akan terlaksana mengikut rangka kerja dan perancangan.‎

‎10. Penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah mula dilaksanakan pada tahun 2010 ‎‎ meliputi semua agensi kerajaan. Sistem pengukuran prestasi menggunakan KPI di sekolah adalah ‎penting dan perlu dilaksanakan. Tuntutan terhadap sekolah dalam kecemerlangan akademik, ‎kokurikulum, disiplin yang baik, amalan-amalan pengurusan, kepimpinan, kompetensi guru yang ‎tinggi dan lain-lain memerlukan sekolah menggunakan strategi serta amalan yang berasaskan ‎prestasi. Penggunaan KPI dan sasaran prestasi boleh digunakan dalam setiap aspek pengurusan ‎sekolah di mana prestasi boleh diukur dari segi proses yang disampaikan dan output yang ‎dihasilkan di sekolah. Sasaran prestasi perlu mengambil kira perkara-perkara seperti keupayaan ‎proses yang meliputi aliran kerja, keperluan sumber manusia, kewangan, peralatan, infrastruktur ‎yang sesuai serta kepuasan dan kehendak pelanggan. ‎


‎11. Saya yakin sistem pengukuran KPI sebagai kayu pengukur kepada kecemerlangan ‎perkhidmatan pendidikan akan dapat meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan ‎berkemampuan untuk rakyat Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan ‎pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan kualiti sistem pendidikan ‎negara kekal dan bertaraf dunia.‎

‎12. Akhir kata, sempena dengan sambutan Hari Guru tahun ini, saya mengucapkan Selamat ‎Hari Guru kepada semua warga pendidik di Malaysia dan berharap tahun 2010 ini akan ‎membawa kecemerlangan kepada institusi pendidikan negara dengan melahirkan modal insan ‎yang harmonis dan seimbang yang akan menjadi tonggak kekuatan negara bangsa. ‎


TERIMA KASIH CIKGU! …“SELAMAT HARI GURU”.

Tiada ulasan: